fbpx

Sultan Selangor dukacita kes pesakit, kematian tinggi akibat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita melihat negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian akibat Covid-19 paling tinggi di Malaysia.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan mengenai penularan berkenaan yang terus melanda negara khususnya di Selangor.

“Beta sedih melihat kesusahan rakyat beta yang kematian ahli keluarga dan anak-anak yang kehilangan ibu bapa tempat bergantung.

“Apatah lagi pada saat ekonomi rakyat juga berada di dalam keadaan yang amat tenat,” titah baginda pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak atas peningkatan kadar kematian dan jumlah pesakit itu.

“Namun, pada hemat beta, peningkatan itu berlaku disebabkan kelalaian kita terhadap penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pada 18 Oktober 2020, jumlah kes di Selangor hanya 3,250 dengan 25 jumlah kematian. Apabila memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kes mula meningkat sehingga 155 kematian di negeri ini pada 31 Januari lalu,” titah baginda.

Baginda bertitah, sekitar Mei lalu, kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi dibuka bagi menjana ekonomi negara dan membantu rakyat mencari pendapatan.

“Apa yang berlaku ketika itu adalah beta melihat kurang penguatkuasaan dijalankan pihak penguatkuasa dan masyarakat mengambil ringan tentang pematuhan SOP seperti berlaku apabila pembukaan pasar malam dan pasar Ramadan tanpa mengambil berat keperluan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka,” titah baginda.

Titah Sultan Sharafuddin, operasi kilang turut gagal menyediakan SOP ketat untuk pekerja mereka manakala rakyat tidak mematuhi larangan merentas daerah dan negeri sehingga mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 sehingga kadar kes dan kematian akibat Covid-19 melonjak dengan begitu ketara.

“Keadaan menjadi bertambah kritikal apabila ada yang tidak mematuhi larangan merentas daerah dan negeri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan pulang ke kampung pada musim Aidilfitri dan Aidiladha lalu.

“Lebih memburukkan keadaan, terdapat pemimpin politik, ahli kenamaan (VIP) dan selebriti menyalahgunakan kedudukan untuk sewenang-wenangnya melanggar perintah,” titah baginda. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI