KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita terhadap mereka yang menyebarkan berita negatif di platform media sosial sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang membaca titah Sultan Muhammad V berkata, baginda menyeru supaya gerakan penyebaran berita itu dihentikan kerana ia boleh mendatangkan banyak konflik.
Menurutnya, selain itu, perbuatan itu akan menambahkan kesulitan selain menjejaskan tumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik, perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat.
“Pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada Covid-19 yang terus mengancam kehidupan.
“Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja yang dibacakan oleh Ahmad pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Titah baginda, sebagai langkah segera, kerajaan Kelantan telah membelanjakan sebanyak RM33.52 juta tahun lalu dan RM18.77 juta tahun ini bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Ujar baginda, ia merupakan tindakan yang tepat seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap DUN, Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat.
Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak Covid-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.
“Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang sememangnya terkesan dengan pandemik Covid-19,” titah baginda. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929