fbpx

Perhilitan perlu penswastaan – ADUN Johor Lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari mencadangkan agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diswastakan

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari mencadangkan agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diswastakan agar perlindungan lebih baik dapat diberi kepada hidupan liar.

Rosleli berkata, cadangan tersebut dibuat ekoran insiden gangguan gajah liar di kawasan kediaman penduduk dipercayai kerana habitat asal haiwan berkenaan telah dicerobohi.

“Saya mahu mencadangkan supaya Perhilitan ini diswastakan kepada pihak yang betul-betul bertanggungjawab terhadap hidupan liar termasuklah gajah.

“Seharusnya haiwan ini diberi perlindungan, makan dan tempat tinggal dan jangan ditinggalkan bersama kita (manusia) di kawasan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.

Tambahnya, lebih 400 hektar kebun kelapa sawit musnah dengan tiga kematian penduduk kampung direkodkan akibat gangguan gajah liar di daerah Kota Tinggi sejak 2011.

“Cadangan (penswastaan Perhilitan) ini bagi membolehkan usaha mengatasi masalah gajah liar agar ianya dapat dipercepatkan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan turut mengurangkan kerugian yang dihadapi golongan peneroka di kawasan terlibat khususnya,” ujarnya.

Sebagai rekod, Felda telah memasang pagar elektrik sepanjang lebih 17.3 km dengan peruntukan RM377,000 serta pembinaan 36.8 km parit gajah dengan kos sebanyak RM326,000.

Inisiatif tersebut dilaksanakan melibatkan empat kediaman Felda di sekitar Kota Tinggi iaitu Felda Lok Heng Timur, Lok Heng Barat, Felda Easter dan Felda Pasak.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI