PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan kompaun sejumlah RM10,000 secara serta-merta terhadap sebuah pemilik premis di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang atas kesalahan gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, tindakan pengkompaunan secara serta-merta ke atas premis terbabit sebagai mesej kepada peniaga tentang keseriusan dan komitmen pihak kementerian melaksanakan Ops Samar untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara.
“Pemeriksaan pematuhan SOP PPN sepanjang dua hari dari 21 sehingga 22 Ogos di sekitar Pulau Pinang iaitu salah satu negeri Fasa 2 PPN bagaimanapun mendapati secara keseluruhannya pematuhan berada pada tahap memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, hasil penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP PKP Akta 342 yang digerakkan bermula 13 Mei tahun lalu hingga 22 Ogos lepas, sebanyak 840 kes kompaun dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.
Katanya, ia membabitkan pemeriksaan terhadap 737,821 premis sektor perdagangan pengedaran diperiksa dalam tempoh tersebut dengan sejumlah RM4.46 juta nilai kompaun dikeluarkan.
“Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan sektor itu berada di tahap amat memuaskan di mana 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan manakala 0.08 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun selain selebihnya iaitu 1.06 peratus premis diberi nasihat serta amaran,” jelasnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929