PETALING JAYA – Presiden Indonesia, Joko Widodo menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri baharu.
Ismail Sabri melalui kenyataan di Facebooknya berkata, beliau menerima ucapan tahniah dari Presiden Indonesia itu setelah dihubungi melalui telefon petang tadi.
“Petang tadi saya menerima ucapan tahniah daripada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).
“Dalam perbualan kami, Jokowi mendoakan agar hubungan Malaysia dan Indonesia terus kukuh,” jelasnya.
Tambah Ismail Sabri, beliau juga menyampaikan hasrat untuk melihat hubungan rakyat antara dua negara terus akrab dan harmoni.
“Jokowi dan saya juga turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor ekonomi.
” Sebelum mengakhiri perbualan, saya turut mendoakan agar Presiden Jokowi dan keluarga serta seluruh rakyat Indonesia sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” ujarnya. – K! ONLINE.