fbpx

Jejak emas Sukan Paralimpik Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atlet paralimpik yang memenangi emas pada edisi Paralimpik Rio 2016. - INSTAGRAM LATIFROMLY
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

SELEPAS berakhirnya Sukan ­Olimpik Tokyo 2020, kini tiba giliran atlet-atlet para negara menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan bermula secara rasminya esok hingga 5 September ini.

Jika dahulu kontinjen para negara kurang diberikan perhatian dengan liputan juga tidaklah begitu meluas berbanding atlet-atlet able bodied (normal).

Namun, senario itu sudahpun berubah 360 darjah, bahkan turut diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak termasuk peminat-peminat sukan tanah air susulan kejayaan mereka pada edisi Pa­ralimpik Rio 2016.

Meskipun kelainan upaya tetap atlet-atlet para mempu­nyai semangat juang yang cukup tinggi dan sangat luar biasa sehinggakan berjaya menggegar dunia dengan membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa pada ketika itu.

Menariknya, ketiga-tiga pingat emas itu diraih dengan penuh membanggakan seperti jaguh pecut 100 meter (m) kategori T36 (cerebral palsy), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerusi rekod paralimpik, 12.07 saat (s).

Dua lagi pemenang pingat emas, Abdul Latif Romly de­ngan rekod dunia lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) menerusi jarak 7.60m dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang juga mencetak rekod dunia dalam acara lontar peluru F20.

Walaupun sudah lima tahun berlalu, namun mereka bertiga sekali lagi menggalas harapan skuad paralimpik negara dan dijangka mampu mengatasi pencapaian atlet-atlet pada Olimpik Tokyo yang memenangi satu pingat perak dan satu gangsa.

Mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dipetik sebagai berkata, beliau percaya bukan cuma mereka bertiga tetapi kesemua atlet para yang lain mempunyai keupayaan untuk membanggakan Malaysia.

“Saya tidak mahu terlalu optimis berlebihan tetapi kedudukan atlet para kita berada pada tahap terbaik. Paralimpik boleh mencapai sasaran dihajatkan.

“Realistiknya, sasaran dile­takkan adalah menyamai pencapaian tiga emas di Rio 2016,” katanya.

Atlet-atlet para tidak terke­cuali apabila turut menerima tempias sama ekoran penula­ran Covid-19 yang menyaksikan mereka juga terpaksa berlatih dalam sistem ‘gelembung sukan’ sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat mereka apabila seramai 22 atlet layak ke ­Paralimpik Tokyo 2020 yang bakal menjadi penyertaan ke-10 sejak kali pertama mengambil bahagian di Jerman Barat pada 1972.

Bagi Ziyad, meskipun berdepan pelbagai halangan dan rintangan disebabkan Covid-19 ketika ini, namun dia berharap agar semuanya berjalan lancar dalam misi mengibarkan Jalur Gemilang di langit Tokyo.

“Persiapan kali ini memang gila-gila dan luar biasa. Tak pernah lagi dikuarantin dan tak boleh ke mana-mana lebih lima bulan, nak balik rumah pun tak boleh.

“Saya nampak perubahan drastik selepas fokus kepada disiplin latihan, keinginan dan cara pemakanan nak kejar impian saya. Saya yakin 110 peratus sudah bersedia untuk menghadapi saat pertandingan di Tokyo,” jelasnya.

Selain Ziyad, Latif dan ­Ridzuan, skuad para olahraga turut menghantar dua lagi atlet iaitu Wong Kar Gee dan Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin.

Nama lain ialah S. Suresh, Wiro Anak Julin (memanah); Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie (powerlifting); Cheh Liek Hou, Didin Taresoh (badminton); Chew Wei Lun (boccia); Chee Chao­ming (ping pong) dan Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda).

Renang menghantar tiga wakil iaitu Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, Brenda Anellia Larry dan Jamery Siga selain enam atlet berbasikal diketuai pilot, Nurul Suhada Zinal, Nur Azlia Syafizaz Mohd. Zais, Zuhairie Ahmad Tarmizi, Muhammad Hafiz Jamali serta Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI