JOHOR Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi untuk merangkul gelaran kelapan berturut-turut saingan Liga Super selepas menewaskan PJ City 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam kelmarin.
Dua gol masing-masing menerusi jaringan pemain import, Bergson da Silva serta Mohamadou Sumareh sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Benjamin Mora itu mengutip tiga mata berharga.
Justeru, JDT kini mula berkira-kira untuk menjulang kejuaraan liga di laman sendiri apabila bakal melayan kunjungan pasukan bergelut, Sri Pahang di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.
Jurulatih kecergasan skuad Harimau Selatan, Jorge Alvarez mengakui, sesuatu yang istimewa sekiranya mereka dapat menjulang kejuaraan di laman sendiri nanti, namun beliau berharap pemain-pemain JDT tidak terlalu leka.
“Sudah tentu gembira hari ini (kelmarin) kerana berjaya dapatkan kemenangan dalam aksi sukar. Kini kami hanya perlukan tiga mata lagi untuk menjadi juara liga.
“Bagi saya, sesuatu yang istimewa untuk menjadi juara liga di laman sendiri walaupun tanpa kehadiran penonton. Tidak kira siapa lawan, kami hanya fokus untuk tiga mata,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas PJ City, beliau yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Sukan memuji kerja keras semua pemain kerana perlu berdepan tentangan sukar skuad kendalian P. Maniam itu.
“Memang kami tahu ia akan jadi satu perlawanan sukar setiap kali bertemu PJ City. Saya gembira kerana sejak awal permainan lagi pemain-pemain JDT cuba untuk kawal permainan serta elak daripada melakukan kesilapan,” ujarnya.