fbpx

Inter buktikan aksi masih mantap biarpun tanpa Lukaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTER berjaya meraih mata penuh pada aksi pertama saingan Serie A selepas menundukkan Genoa 4-0 di San Siro awal pagi semalam. – AFP

MILAN – Ketiadaan Romelu Lukaku langsung tidak memberi kesan kepada Inter Milan apabila membelasah Genoa 4-0 pada aksi pembuka tirai Serie A di San Siro awal pagi semalam.

Lukaku yang menjaringkan 24 gol dalam saingan liga musim lalu memilih untuk meninggalkan pasukan tersebut dan kembali menyertai pasukan lamanya, Chelsea.

Bagaimanapun, ia tidak membuatkan pasukan itu goyah apabila mereka berjaya meledak empat gol menerusi Milan Skriniar, Hakan Calhanoglu, Arturo Vidal serta Edin Dzeko.

“Satu keputusan yang cukup baik untuk pasukan dan pemain berhak menang kerana sudah bekerja keras dalam latihan sejak 8 Julai lalu. Mereka juga sentiasa terbuka menerima pembaha­ruan dalam pasukan.

“Kami memulakan saingan musim baharu dengan sangat baik di hadapan penyokong sendiri. Bagi saya, tidak ada yang lebih baik berbanding menang di laman sendiri,” kata jurulatih Inter, Simone Inzaghi.

Pada masa sama, beliau turut memuji aksi yang ditampilkan Calhanoglu apabila dilihat cukup selesa mengemudi bahagian tengah biarpun baru menyertai pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini.

“Hakan Calhanoglu seorang pemain yang sangat hebat. Dia memiliki corak permainan berkualiti dan saya rasa kami sangat bertuah untuk mendapatkan khidmatnya,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI