SHAH ALAM – Restoran Temerloh Catering terus melanjutkan pemberian sajian ikan patin masak tempoyak secara percuma kepada mereka bernama Ismail selepas mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.
Langkah itu secara langsung membantu orang ramai ketika pandemik Covid-19 yang mengidam terhadap sajian itu dengan 114 paket disediakan hari ini.
Pengarah Urusan restoran tersebut, Khairul Izwandy Abdul Jazam tanpa berselindung turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob hadir meluangkan masa menikmati makanan tersebut dengan kempen itu adalah selaras pelantikannya.
“Harap promosi ini disedari Perdana Menteri sendiri kerana saya sangat berharap beliau dapat makan di sini sekurang-kurangnya sekali.
“Ini impian saya memandangkan beliau sendiri berasal dari Pahang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Khairul Izwandy memberitahu, lebih 120 paket percuma bersamaan lebih 200 ketul ikan patin diberikan kepada orang ramai walaupun pada mulanya tawaran hanya 100 peket sahaja.
“Hari ini, kita bagi 114 paket ikan patin masak tempoyak percuma dengan angka itu dipilih kerana signifikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Khairul Azhar Ismail, 45, berkata, dia mengetahui promosi ini melalui Facebook Khairul Izwandy memandangkan mereka sudah berkawan lama.
“Hari ini, baru ada kesempatan untuk tuntut ikan patin masak tempoyak. Saya memang selalu makan di sini kerana lauk di sini memang sedap,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan orang ramai hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan dengan syaratnya kepada sesiapa sahaja bernama Ismail, bin atau binti Ismail dan alamat rumah mempunyai perkataan nama itu bagi mendapatkan hidangan ikan patin masak tempoyak secara percuma.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929