SUNGAI SIPUT – Gambar tular di media sosial mendakwa pekerja warga asing memakai gelang merah jambu dan berkeliaran di Kampung Muhibbah dekat ini adalah tidak benar.
Sebaliknya, mereka dalam perjalanan pulang ke asrama untuk menjalani kuarantin kendiri dan singgah di kedai membeli barang keperluan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya mendapati pekerja-pekerja tersebut menjalani ujian saringan Covid-19 di kilang berkenaan pada hari sama gambar tular setelah enam pekerja disahkan positif wabak tersebut.
Katanya, kesemua mereka kemudiannya dipakaikan gelang merah jambu oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dan diarah pulang ke asrama.
“Kilang tersebut telah menjalankan saringan lebih 500 pekerjanya di mana enam pekerja telah disahkan positif.
“Pekerja-pekerja lain dipakaikan gelang kuarantin bertujuan menyekat pergerakan selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, pemeriksaan oleh pihak polis di asrama pekerja terbabit juga mendapati tiada sebarang pelanggaran pematuhan (SOP) kuarantin kendiri.
“Pasukan pemantau SOP Covid-19 telah membuat pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan sekitar dan ke atas semua pekerja yang dikuarantin.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang pelanggaran SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kesemua pekerja yang diarahkan kuarantin berada di asrama,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929