NAMA Syazwan Shuhaimi mungkin agak janggal dan langsung tidak pernah kedengaran dalam arena muzik tanah air.
Sebenarnya, jejaka tampan berbakat besar itu telah lama menapak sebagai penyanyi profesional sejak beberapa tahun lalu. Tinggal lagi, nasib belum menyebelahinya.
Kini, atas nama semangat dan minat mendalam dalam bidang muzik, Syazwan melangkah setapak lagi menerusi single perdana berjudul Sang Purnama.
“Syukur kerana segala usaha dan penat lelah akhirnya membuahkan hasil dengan terbitnya Sang Purnama. Ini merupakan rezeki yang sangat besar kerana sudah lama saya menantikan peluang sebegini.
“Impian saya menjadi kenyataan apabila pengurus yang juga merupakan abang ipar, Pak Azad (Azad Jasmin) menyapa orang penting label muzik, Rocketfuel dalam sebuah majlis menyatakan hasrat kami untuk menerbitkan sebuah single,” katanya.
Bakat nyanyian semula jadi yang ada dalam diri adik kepada pelakon Eira Syazira itu sememangnya mula dikesan sejak usia kanak-kanak lagi.
Cerita Syazwan, ketika masih menuntut di universiti, dia sering membuat persembahan bersama band dan usai tamat pengajian, impian bergelar penyanyi terpaksa ditunda hingga tahun 2015 apabila muncul dengan single pengenalan.
“Jujur saya katakan pengalaman lalu banyak mengajar untuk lebih berhati-hati dalam merangka apakah rancangan yang seterusnya.
“Berbekalkan pengalaman, dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan serta sedikit wang simpanan, saya beranikan diri untuk mengorak langkah hingga terciptanya single ini,” ujarnya.
Bercerita mengenai single sulungnya, Syazwan memberitahu Sang Purnama membawa metafora buat insan yang disayangi dan diibaratkan bulan yang menyinari malam tatkala berada dalam kegelapan.
Menjadikan penyanyi terkenal antarabangsa seperti Celine Dion dan Usher sebagai pengaruh besar dalam muzik, selain selebriti tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Anuar Zain, ternyata Syazwan lebih terdorong terhadap genre balada untuk mempamerkan kemantapan vokalnya.
“Lagu ini adalah sebuah ciptaan bergenre pop dansa dengan sedikit elemen jazz dan R&B. Saya sengaja lari daripada kebiasaan untuk mencabar diri dan mahukan sesuatu yang mudah diterima ramai.
“Selain itu, saya juga turut mencabar diri mempelajari tarian selama setahun bersama koreografer, Faruq Suhaimi agar selari dengan konsep muzik yang dibawakan,” ujarnya yang memberitahu Sang Purnama merupakan hasil nukilan komposer terkenal Audi Mok dan Shazee Ishak.
Tambah Syazwan, 35, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah penghalang buat dirinya meneruskan impian, bahkan menjadi pembakar semangat dalam menghadapi apa jua cabaran.
“Saya tidak menyangka akan mengeluarkan single ketika PKP, namun saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat.
“Berbekalkan keazaman, saya menongkah keadaan semasa dan mengubahnya menjadi positif. Kita tidak tahu berapa lama norma baharu ini akan berlanjutan,” tambahnya.
Sang Purnama boleh dimuat turun daripada iTunes Store dan boleh dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Muzik video single juga tersebut boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube RocketFuel Network.