PONTIAN – Pengalaman bertempur dengan pengganas komunis ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) pada usia 20 tahun terus kekal dalam ingatan Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 76.
Bagi mengenang kisah-kisah pertempuran dengan pengganas komunis itu, sebuah biografi dirinya telah ditulis oleh anaknya, Prof. Dr. Zahrul Akmal Damin, 41, Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat.
Katanya, setelah menamatkan kursus asas di Pusat Latihan Polis pada 31 Mac 1966, beliau ditugaskan sebagai ‘mata-mata’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Pulau Petani Road di Pulau Pinang.
“Ketika temu duga, mereka menanyakan kepada saya ‘awak tak takut ke?
“Ia ekoran terdapat 16 orang anggota PPH telah terkorban di Kroh kawasan bersempadan Malaysia dan Thailand,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuah, Pekan Nanas di sini baru-baru ini.
Tambah Damin, pertempuran pertama dengan komunis berlaku pada tahun 1969 di mana ketika itu beliau bertugas sebagai peninjau di Ulu Kinta, Perak.
“Mujur kami sempat meniarap dan berlindung di belakang pokok getah daripada tembakan pengganas komunis yang bertalu-talu menunju ke arah pasukannya, Platun 6 Kompeni C,” ujarnya.
Seterusnya, Damin berkata, dia pernah ditawarkan untuk menyertai Pasukan VAT 66 (komando) tetapi dia menolaknya kerana setia dengan PPH.
Katanya, pertempuran kedua berlaku pada tahun 1975 apabila pasukannya diarah membuat ‘pembersihan’ di Jalan Ban Na Lee di Betong, Thailand.
“Sewaktu melalui jalan tersebut, kami telah diserang hendap hingga mengakibatkan dua anggota kami terbunuh dan tujuh cedera. Kami pula menembak mati 10 anggota komunis dan mencederakan 21 orang dalam pertempuran yang begitu sengit sehingga kehabisan 1,000 butir peluru,” ujarnya.
Dalam pada itu, Damin memberitahu, hanya seorang anaknya yang mengikuti jejak langkahnya yang kini bertugas di bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Di atas jasa dan khidmat baktinya sebagai anggota keselamatan, dia telah dikurniakan pingat Jasa Pahlawan, Pingat Perkhidmatan Setia dan Pingat Ibrahim Sultan.-K! ONLINE