fbpx

Guru patut jadi contoh, ambil suntikan vaksin – Sultan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim bertitah supaya guru yang menolak vaksin mengambil vaksin agar mencapai sasaran imuniti kelompok.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

Sultan Ibrahim bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah.

“Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda yang dikeluarkan dalam satu kenyataan menerusi Royal Press Office di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah baginda.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Susulan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail turut memberi respon dengan menitahkan Pengarah Pendidikan negeri Johor serta wakil guru berkenaan untuk mengadap baginda dalam mencari jalan penyelesaian.

Kosmo! difahamkan pertemuan itu dijadualkan akan berlangsung Jumaat ini.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI