ALOR SETAR – Pembinaan Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi fasa satu di Gunung Jerai dekat sini bertujuan untuk memastikan pokok-pokok yang tumbang serta batu-batu besar tidak menghilir sekiranya aliran air deras berlaku.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, sebanyak tiga empangan jenis itu akan dibina di kawasan tersebut dalam masa terdekat.
“Empangan jenis tersebut banyak digunakan di Jepun. Selain menghalang pokok, empangan sabo juga memastikan sampah-sampah dari pasir atau batu besar tidak menghilir apabila berlaku aliran deras.
“Keadaan itu akan membantu dalam mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah seperti yang terjadi dalam tragedi kepala air baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan di sini hari ini.
Pembinaan empangan yang menelan belanja RM20 juta itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar sebelum itu.
Difahamkan terdapat tiga empangan jenis itu akan dibina di Gunung Jerai melibatkan kawasan aliran yang baharu muncul dalam fenomena kepala air baru-baru ini. – K! ONLINE