KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, semua Ahli Dewan Undangan Aegeri (ADUN) perlu berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat dan menggunakan peluang untuk berbahas secara rasional.
Baginda bertitah situasi politik semasa dan perkembangan terkini berkaitan penularan pandemik Covid-19 perlu dijadikan panduan kepada semua ADUN untuk menumpukan usaha membantu rakyat.
“Saya menasihatkan semua wakil rakyat agar berubah kepada politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat dan memajukan negara.
“Rakyat dan negara tidak wajar dibebani kemelut politik dan perebutan kuasa tidak berkesudahan. Ini bukanlah masa untuk kita bersengketa dan banyak bicara (bercakap) tanpa berbuat apa-apa, kerana ini adalah masa untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat,”titah baginda ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.
Tengku Hassanal turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Sabtu lalu.
Baginda berharap Ismail Sabri dapat menjalankan tugas dan tanggung jawab diamanahkan sebaik mungkin.
Menyentuh mengenai tadbir urus kerajaan Pahang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Tengku Hassanal bertitah, pelbagai usaha dan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu diteruskan dengan kerjasama semua pihak.
Titah baginda, kes Covid-19 di negeri ini masih tinggi dan baginda menyeru semua rakyat mengamalkan langkah keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Mengenai bantuan dan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri pula, saya rasa ia bukanlah daripada kerajaan negeri semata-mata tetapi turut membabitkan pihak swasta dan korporat.
“Untuk itu kita perlu sentiasa cakna dengan persekitaran dan kejiranan kita bagi memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima bantuan di saat mencabar seperti sekarang ini,”titahnya.
Sementara itu, Tengku Hassanal turut mengingatkan kerajaan negeri supaya terus mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus secara lestari dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kemajuan negeri.
Justeru baginda bertitah agar setiap agensi dan jabatan yang terbabit dalam tugas penguatkuasaan perlu menjalankan tugas mereka tanpa sebarang rasa takut dan tertekan.
“Saya mengalu-alukan pembangunan dan pelaburan, namun ia bukanlah alasan untuk kita mengabaikan dan melakukan kemusnahan sesuka hati,”titahnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929