JOHOR BAHRU – Sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta surat pengesahan majikan yang menggunakan khidmat empat remaja terbongkar setelah ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini, 5 Ogos lalu.
Empat remaja masing-masing dua lelaki dan perempuan berusia 16 hingga 19 tahun itu menerima upah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen yang berjaya dijual.
Sindiket ini mengambil kesempatan atas keghairahan masyarakat yang ingin merentas negeri dengan menjual dokumen itu pada harga RM150.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar setelah aktiviti pengiklanan yang dibuat menggunakan platform media sosial seperti di Facebook, Instagram serta aplikasi WeChat.
Katanya, berdasarkan maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman telah menjalankan operasi berasingan antara 8.30 hingga 10 malam bagi menahan empat suspek berkenaan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di media sosial. Sindiket ini turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, di sini bagi mengelirukan pihak berkuasa.
“Sindiket ini menjual dokumen MITI dan surat pengesahan majikan yang dipalsukan pada harga RM150. Siasatan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Mac ini dan sudah menjual sebanyak 250 keping ke seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/08/wanted-johor.jpg)
Dalam serbuan yang dijalankan, polis merampas sejumlah telefon bimbit dan kad bank yang digunakan dalam sindiket itu.
Ayob Khan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat berkenaan tidak tahu menahu tentang kegiatan tersebut.
Katanya, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama Nicholas Chai Jia Han, 21, yang dipercayai dalang sindiket berkenaan.
Tambahnya, alamat terakhir lelaki itu ialah di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.
“Masyarakat yang ingin merentas daerah dan negeri diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah.
“Jangan ambil tindakan mudah dengan membeli dan menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan,”katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929