TEMERLOH – Dugaan berat dihadapi seorang suri rumah, Nurhaslin Mohd. Suhaimi Udaya, 30, selepas kematian suaminya akibat pandemik Covid-19 pada 7 Ogos lalu masih terkesan apabila ibu kepada dua anak itu masih trauma kehilangan ketua keluarga secara mengejut.
Namun bebanan yang dialami Nurhaslin yang tinggal sementara bersama ibunya di Taman Sri Layang Mentakab di sini mendapat perhatian Wanita UMNO Temerloh yang menyampaikan sumbangan dan bantuan serta sokongan.
Ketua Wanita UMNO Temerloh, Datuk Juhanis Abd. Aziz berkata, pihaknya tampil menghulurkan bantuan dan bersedia membantu keperluan suri rumah berkenaan termasuklah dalam mencari pekerjaan atau pun bantuan lain bagi menjana pendapatan.
“Selepas dilaporkan di akhbar Kosmo! kami segera mencari dan mengesan keluarga ini termasuklah di Kuala Sentul Maran iaitu rumah mentuanya sebelum mengesan rumah ibunya di sini.
“Kami akan terus membantu keperluan keluarga ini, selain bantuan kewangan dan barangan kami akan membantunya agar mempunyai pendapatan sama ada mendapatkan pekerjaan atau melakukan kerja kemahiran tertentu yang mana kita bantu peralatan,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan ujian besar ditanggung Nurhaslin yang kehilangan suami, Muhamad Izzmanudin Ibrahim,34, yang disahkan positif Covid-19 pada 11 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Mukriz Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu.
Dia yang berkahwin pada 2017 dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Izz Thaqil Thalhah Muhamad Izzmanudin,3, dan Muhammad Izz Qays Qarizh, 5, bulan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929