MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui para pemainnya sedar mengenai jangkaan tinggi yang diletakkan untuk aksi menentang Southampton di St. Mary malam ini.
Pertemuan menentang The Saint ini merupakan aksi pertama selepas United membelasah skuad kendalian Ralph Hasenhuttl 9-0 di Old Trafford pada Februari lalu.
Bagaimanapun, Solskjaer tidak mahu para pemainnya terus terbuai dengan kejayaan lalu sambil sedar bahawa ancaman yang mampu diberikan Southampton di laman sendiri lebih berbahaya terutama ketika United sekadar menang tipis 3-2 pada aksi November tahun lalu.
“Kemenangan 9-0 itu saya anggap tidak selalu berlaku. Ia adalah aksi yang istimewa selain pemain mereka dilayangkan kad merah pada awal permainan. Perlawanan itu tidak termasuk dalam perkiraan yang saya lakukan.
“Menentang pasukan yang dibimbing oleh Ralph, anda perlu bersedia dari aspek tenaga, mereka sentiasa memberikan tekanan yang tinggi, para pemain mereka sentiasa percayakan diri dan sudah pasti anda berdepan cabaran hebat.
“Musim lalu di tempat mereka, kami sangat bernasib baik. Mereka berjaya mendahului dengan dua gol pada awal permainan tetapi kami berjaya bangkit termasuk gol kemenangan yang dijaringkan oleh Edinson Cavani,” katanya.
Tambahnya, tugas United bertambah sukar di St. Mary kali ini terutama apabila The Saint bakal turun dengan sokongan para peminat mereka yang akan memenuhi stadium.
“Sudah pasti kali ini sangat berbeza. Kami berjaya meraih banyak kemenangan biarpun terlebih dahulu ketinggalan pada aksi sebelum ini. Namun, kali ini saya tidak pasti kerana apa yang kami lakukan sebelum ini tanpa peminat di stadium.
“Saya fikir kami perlu lebih fokus sejak awal perlawanan. Kami akan berdepan masalah sekiranya mereka mendahului, ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk meraih kemenangan jika itu berlaku,” katanya.
– AGENSI