BATU PAHAT- Aktiviti sebuah sindiket memasarkan rokok tanpa cukai di beberapa lokasi berjaya dipatahkan apabila hampir RM1 juta nilai tembakau seludup itu berjaya dirampas oleh sepasukan polis Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Deputi Superintendan Salehin Suleiman berkata, dalam serbuan menerusi Op Kontraban pada Jumaat lalu, pihaknya telah menemui 884,400 batang rokok disimpan dalam dua buah kenderaan yang berada di pekarangan sebuah premis di Taman Berlian, di sini.
Menurut beliau, seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun turut ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai pemandu kenderaan itu dengan menghantar bekalan rokok seludup ke lokasi ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan pada pukul 4.30 petang, kesemua rokok yang disimpan dalam kotak berwarna coklat ini berjaya ditemukan dalam sebuah lori jenis Hicom dan sebuah van jenis Toyota Hiace disyaki rokok seludup.
“Nilai rampasan rokok berjumlah RM974,194 manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah sebanyak RM1.19 juta. Dengan serbuan yang dijalankan ini telah berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran rokok tanpa cukai yang aktif di sekitar daerah Batu Pahat dan Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929