CYBERJAYA – Seorang maut, manakala seorang lagi cedera selepas terperangkap dalam sebuah kereta yang hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku di Putrajaya Link, menghala Tol Putrajaya di sini pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Mohmad Rashid Mohmad Said berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 9.57 pagi.
“Sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan setibanya di lokasi kira-kira pukul 10.18 pagi, didapati telah berlaku kebakaran kereta jenis Honda City yang hangus 100 peratus.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua mangsa lelaki berbangsa Cina di mana seorang mangsa terperangkap di dalam kereta manakala seorang mangsa lagi telah tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya.
Katanya, mangsa yang terperangkap tersebut bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang awam sebaik bomba tiba.
Tambahnya, pihak bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran pada kenderaan terbabit bermula pada pukul 10.19 pagi dengan menggunakan satu aliran salur bantu air tangki.
Katanya, mangsa yang maut dikenali Ong Ka Hou, 26, telah pun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929