SIAPA sangka selendang pemberian suami menjadi asbab sehingga berjaya menjentik hati Siti Elizad untuk mula berhijab sejak 1 Muharam lalu.
Mengejutkan, namun pemilik nama lengkap Siti Elizad Mohd Sharifuddin bersyukur kerana Tuhan telah membeli peluang dan membuka hatinya untuk menikmati sebuah penghijrahan menjadi insan yang lebih baik.
Ikuti perkongsian pelakon berusia 37 tahun itu tentang hijrah dan pandangannya mengenai keberanian netizen pada hari ini.
KOSMO!: Semakin cantik selepas berhijab, mungkin Elizad boleh kongsikan bagaimana hijrah indah ini boleh berlaku.
SITI ELIZAD: Penghijrahan ini berlaku tanpa dirancang pun. Semuanya bermula apabila suami, Shamsul Baharin Abdul Rahman, 48, membeli beberapa helai tudung secara dalam talian untuk saya.
Ketika memakai selendang yang dibeli, suami kata cantik sangat tetapi dia tak paksa saya untuk pakai. Kemudian kebetulan saya bekerja masuk konti radio pada 1 Muharam lalu dan bermula detik itulah saya mula memakai tudung.
Apabila sudah berhijab, boleh gambarkan perasaan yang dirasai anda?
Alhamdulillah saya sangat selesa dengan penampilan terbaharu ini. Memandangkan umur pun sudah menginjak ke usia 37 tahun jadi mungkin ini permulaan baharu untuk saya.
Apa yang saya nak tekankan ialah saya bukan manusia yang sempurna. Saya masih cuba perlahan-lahan memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Seperti anda lihat saya masih dengan gaya Siti Elizad seperti memakai tali pinggang dan anting-anting.
Apa pun doa saya kepada Allah SWT supaya dibukakan pintu hati untuk lebih menjadi muslimah yang lebih baik tidak akan pernah berhenti dan harapnya kekal istiqamah.
Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan.
Mengapa anda bertindak untuk menutup ruangan komen dalam satu hantaran terbaharu Instagram baru-baru ini?
Tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan netizen berbalah dan bergaduh di situ. Saya tak mahu ada unsur negatif dalam hantaran tersebut.
Sebenarnya walaupun saya tutup ruangan komen, masih ada juga segelintir netizen yang masih melemparkan kata-kata negatif menerusi mesej peribadi Instagram.
Ada yang persoalkan fesyen tudung saya: “Sudah cukup sempurnakah pakai hijab begitu?”
Saya tidak pernah cakap saya manusia yang sempurna. Lebih baik mereka duduk depan cermin dan tanya diri sendiri adakah sudah cukup baik dan sempurna? Hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang sempurna pada mata-Nya.
Ramai yang beranggapan anda memakai tudung selepas mendapat hadiah tudung daripada Allahyarham Siti Sarah. Adakah dakwaan tersebut benar?
Seboleh-bolehnya saya tak mahu kaitkan hijrah saya dengan arwah atau kisah-kisah kebaikan arwah. Saya pakai tudung kerana Allah dan niat sendiri bukan disebabkan orang lain.
Perkara lain yang saya nak cakap tentang arwah, dia selalu beri hadiah kepada saya dan sangat bangga dengan Shuib yang sangat tenang menghadapi dugaan ini.
Apa pendapat anda mengenai sikap netizen hari ini yang suka mengecam dan membuat dakwaan palsu sehingga mencemarkan nama orang lain seperti yang berlaku kepada anda baru-baru ini.
Netizen perlu sedar bahawa setiap amalan dan keburukan sudah dicatit oleh malaikat. Jaga lidah dan tangan daripada menulis atau berkata-kata buruk.
Saya juga bukan jenis suka berbalah dengan netizen tetapi sekiranya sudah melampaui batas sehingga menyentuh isu keluarga, siapa yang tidak marah.
Namun, setakat ini masih tiada yang betul-betul berani memarahi ataupun menegur saya secara berdepan. Semuanya masih bercakap di belakang.
Bagaimana pula dengan isu yang berlaku baru-baru ini apabila ada pengguna media sosial yang lantang menuduh anda sebagai wanita yang tak boleh melahirkan zuriat?
Kalau boleh saya tak mahu ulas lagi tetapi sebenarnya perkataan tersebut masih berlegar-legar dalam hati saya dan kesannya dirasai sehingga kini.
Luluh hati sebagai seorang isteri apabila dilemparkan perkataan sebegitu. Sebelum ini saya sangat positif tetapi selepas hal tersebut berlaku, saya jadi sedih seorang diri.
Namun, alhamdulillah selepas beberapa bulan perkara buruk tersebut berlaku, rupa-rupanya banyak benda baik yang Allah berikan seperti hijrah ini.