fbpx

Penang kutip tiga mata di Likas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penang FC melonjak ke tangga ketiga Liga Super menerusi kemenangan 3-0 ke atas Sabah. Kredit gambar Facebook Penang Football Club

PENANG FC melonjak ke tangga ketiga saingan Liga Super selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sabah FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Dua gol menerusi penyerang berbisa, Casagrande serta satu jaringan Sheriddin Boboev sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Tomas Trucha itu untuk mengutip tiga mata berharga.

Meskipun kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang cukup seimbang, namun tuah nyata menyebelahi skuad Harimau Kumbang apabila ketajaman Casagrande memberi kelebihan buat pasukan pelawat.

Pada 15 minit awal perlawanan, Sabah dilihat lebih banyak mengawal permainan apabila melakukan gerakan berbahaya, namun percubaan Mohd. Amri Yahyah dan Saddil Ramdani sekadar terkena palang.

Kerja keras Penang membuahkan hasil apabila Casagrande tenang menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan Muhammad Khairu Azrin Khazali pada minit ke-38 bagi membolehkan mereka mendahului 1-0.

Sebaik separuh masa kedua bermula, Penang tidak menunggu lama apabila Casagrande terus menggandakan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-54 selepas menanduk masuk sepakan penjuru Endrick Dos Santos.

Tidak sampai 15 minit, pintu gol Sabah bocor lagi, kali ini menerusi gerakan solo Boboev yang berjaya melepasi kawalan tiga pemain pertahanan tuan rumah sebelum menolak masuk bola untuk gol ketiga Penang.

Tersentak dengan gol tersebut, Sabah cuba menggandakan asakan ke arah benteng pertahanan Penang, namun kedudukan itu kekal hingga tamat permainan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI