LANGKAWI – Seorang nelayan dikhuatiri hilang manakala tiga rakannya terselamat selepas bot dinaiki mereka terlanggar boya di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Pulau Lalang dekat sini pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mohamad Ewandi Husnan, 22, dan tiga lagi mangsa berumur antara 18 hingga 53 tahun tercampak ke dalam laut.
Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan tentang kejadian.
Katanya, empat mangsa dikatakan tercampak ke dalam laut selepas bot fiber dengan nombor pendaftaran KHS 1774 itu terlanggar boya.
“Seorang kru bot tersebut, Mohamad Ewandi masih hilang manakala tiga lagi mangsa berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan kira-kira pukul 10.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, salah seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan patah hidung manakala dua lagi dilaporkan cedera ringan.
“Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke pangkalan nelayan di Sungai Menghulu di sini oleh nelayan tempatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” ujarnya
Beliau berkata, bot yang bergerak tanpa pengemudi itu kemudian ditemui tersadai di daratan Pulau Lalang pada pukul 12.20 tengah hari ini. – K! ONLINE