fbpx

Nadir Al-Nuri sedia beri kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nadir Al Nuri

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh di dalam apa jua siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, beliau turut menegaskan ada berbalas pesanan dengan beberapa anggota polis dan menafikan tidak memberi sebarang respon ketika dihubungi sehingga memaksa pihak polis meminta bantuan Interpol bagi mengesan aktivis itu.

“Mereka juga mengetahui di mana anak guam kami berada sekarang. Anak guam kami sedia memberikan kerjasama penuh di dalam apa jua siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Malah semua pihak termasuk polis mengetahui beliau sekarang berada di Gaza, Palestin. Oleh yang demikian tiada keperluan untuk meminta bantuan Interpol untuk mengesan anak guam kami,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zainul Rijal, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah sudahpun berhubung dengan aktivis berkenaan sebentar tadi bagi meminta kerjasama dalam siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh seorang pendakwah terkenal.

“Bagaimanapun, sebagaimana diketahui umum anak guam kami (dan orang lain juga) menghadapi kesukaran untuk keluar dari Gaza dan masuk semula jika beliau keluar buat masa ini. Sempadan keluar masuk Gaza kini dikawal ketat oleh pihak berkuasa memandangkan situasi terkini di Palestin.

“Anak guam kami juga sedang melanjutkan pengajian beliau di Gaza dan melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat sivil membantu warga Gaza di sana khususnya bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Muhammad Nadir Al-Nuri juga masih belum mengetahui butiran laporan polis yang dibuat secara terperinci.

“Pihak polis boleh menghubungi kami selaku peguam kepada anak guam kami untuk memudahkan segala perancangan mengambil keterangan tersebut dan siasatan dapat disempurnakan.

“Anak guam kami juga meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau fitnah berkaitan dengan perkara ini dan biarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka mengikut undang-undang tanpa sebarang gangguan,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI