SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memeriksa setiap peniaga dan pekerja khususnya di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Taman Sri Rambai di sini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka telah divaksin.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, jika masih belum menerima vaksin sekalipun, golongan tersebut perlulah sekurang-kurangnya telah menerima tarikh untuk divaksin atau mendaftar untuk tujuan berkenaan bagi membolehkan mereka kembali menjalankan perniagaan masing-masing.
“Kerajaan negeri dan MBSP dah bagi peluang kepada mereka dengan menyediakan program vaksinasi secara percuma dan sebagainya tapi ada yang masih berdegil.
“Justeru, kami akan pergi kepada setiap peniaga atau pekerja ini dan jika didapati mereka tidak mempunyai tiga perkara seperti yang saya sebutkan itu, maka, perniagaan mereka akan ditutup serta-merta,” katanya menerusi sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di laman Facebook MBSP hari ini.
Beliau berkata demikian selepas turut serta dalam pemantauan Program Penang Saring Covid-19 (PSC19) di Dewan Orang Ramai Taman Camellia, Bandar Perda Bukit Mertajam di sini bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Difahamkan, ketika ini terdapat 760 peniaga yang beroperasi di kedua-dua buah pasar awam selain Pasar Pagi Taman Sri Rambai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929