LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo menjelaskan beliau masih belum membuat keputusan sama ada penyerang, Harry Kane akan diturunkan ataupun tidak pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers malam ini.
Spurs akan berkunjung ke Stadium Molineux bagi memburu kemenangan kedua selepas mengejutkan juara bertahan, Manchester City selepas menang 1-0 minggu lalu.
Bagaimanapun, status Kane terus menjadi tanda tanya selepas dia dikatakan memberontak apabila permintaannya untuk keluar daripada pasukan itu pada jendela perpindahan kali ini tidak ditunaikan.
Meskipun sudah kembali mengikuti sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain, namun Espirito Santo masih tidak pasti mahu menggunakan khidmat pemain antarabangsa England itu ataupun tidak.
“Dia turun menjalani latihan hari ini (kelmarin) dan beraksi dengan baik. Kami hanya akan buat keputusan mengenai skuad yang akan ke sana selewat-lewatnya esok (hari ini).
“Saya minta maaf kerana mengulangi perkataan sama, namun inilah yang sepatutnya. Setiap keputusan perlu dibuat berdasarkan keadaan semasa setiap pemain,” kata pengendali dari Portugal itu.
Pada masa sama, beliau menegaskan, tidak adil untuk semua pihak membuat penilaian terhadap dirinya berhubung isu Kane kerana beliau masih dalam fasa membentuk skuad terbaik di bawah bimbingannya. – AGENSI