fbpx

Ever Given berjaya menyeberangi Terusan Suez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal Ever Given kembali melalui Terusan Suez selepas ditahan selama lebih tiga bulan. -Vessel Finder

KAHERAH – Sebuah kapal kontena antara terbesar di dunia  yang terkandas  di Terusan Suez awal tahun ini dan menyebabkan perdagangan dunia rugi  £42 bilion (RM242 bilion) belayar melalui laluan tersebut tanpa sebarang masalah, lapor laman berita Mail Online kelmarin.

Kapal MV Ever Given terperangkap di terusan Mesir itu pada 23 Mac lalu itu telah mencetuskan  operasi menyelamat selama enam hari yang berakhir dengan satu kematian, sebuah bot penyelamat  tenggelam dan 48 kapal kargo lain terpaksa mencari laluan alternatif.

Perjalanan kapal-kapa tertunda kerana menunggu laluan itu dibuka semula,  manakala sejumlah kapal lain terpaksa mengambil laluan lebih jauh melalui rantau Afrika.

Pihak Berkuasa Terusan Suez mengumumkan bahawa MV Ever Given  berjaya melewati terusan itu bersama kapal-kapal lain yang datang dari Laut Mediterranean menuju ke Laut Merah.

Kapal itu menurunkan 18,300 kontena kargo ke Rotterdam, Felixstowe dan Hamburg. Ia kini  dalam perjalanan ke China selepas disita selama lebih tiga bulan sementara pemiliknya mengatur perjanjian pampasan dengan Mesir.

Kapal sepanjang 400 meter membawa kargo antara Asia dan Eropah itu telah ditahan di Ismalia selama lebih tiga bulan.

Selepas satu perjanjian dicapai antara pemilik kapal itu dari Jepun, Shoei Kisen Kaisha Ltd. dan pihak berkuasa terusan, MV Ever Given dibebaskan untuk meneruskan semula perjalanannya pada Julai lalu.

Biarpun terma perjanjian tidak didedahkan, Mesir dilaporkan mencapai penyelesaian berhubung tuntutan pampasan berjumlah £397 juta (RM2.2 bilion).

MV Ever Given merupakan satu daripada 26 buah kapal yang melalui tersusan tersebut pada Khamis lalu diiringi dua kapal tunda.

“Ia merupakan satu kelegaan  besar apabila melihat kapal itu semula.

“Akhirnya kami dapat menyelesaikan tugas-tugas pemunggahan dan mudah-mudahan mengembalikannya ke rutin pelayaran yang normal,” demikian kata pengarah kontena pelabuhan Rotterdam, Hans Nagtegaal mengenai kedatangan Ever Given. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI