PETALING JAYA – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sekali lagi mencuit hati ramai apabila bertanyakan sama ada beliau masih berpeluang memohon jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Terdahulu dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri kesembilan.
“Tahniah Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM (Perdana Menteri) Malaysia. Saya reda. Maaf rakyat Malaysia permohonan saya ditolak hari itu.
“Tetapi jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri) masih ada peluang ke untuk saya memohon?” tulisnya semalam.
Tambah melucukan, pelawak dan pelakon, Zizan Razak tidak ketinggalan meninggalkan komen dengan berpesan agar Aliff Syukri tidak mengambil alih kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Datuk jangan ‘sailang’ posisi saya sebagai TPM. Nanti saya tengok dulu mana ada yang kosong untuk datuk okey.
“Tetapi selepas saya bincang-bincang datuk macam sesuai jadi ketua kampung dulu buat sementara. Tengok datuk boleh kawal atau tidak. Setuju rakyat semua?” komen Zizan secara bergurau.
Rabu lalu, Aliff membuatkan netizen pecah perut apabila beliau menggelarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri kesembilan dalam satu siaran langsung di Instagram.
Lebih menghangatkan suasana, beliau turut melantik Zizan sebagai pembantunya, sekali gus menjadi calon Timbalan Perdana Menteri yang baharu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929