PYONGYANG – Pegawai rasmi Korea Utara melarang penduduk negara itu daripada membincangkan mengenai kehilangan berat badan pemimpin utamanya, Kim Jong-un, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pihak berkuasa menegaskan, Jong-un mengurangkan pengambilan makanan ‘untuk kepentingan negaranya’ ketika Korea Utara berdepan krisis bekalan makanan.
Beliau dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Spekulasi berkaitan kesihatan pemimpin itu bermula selepas beberapa keping foto menunjukkan badan beliau kelihatan kurus selepas berat badannya kurang hampir 20 kilogram awal tahun ini.
Bagaimanapun, menurut laporan perkhidmatan berita bukan berasaskan keuntungan dari Amerika Syarikat, Radio Free Asia (RFA), usaha menghalang orang ramai daripada membuat spekulasi mengenai penampilan baharu Jong-un itu gagal.
Sumber memberitahu bahawa unit pengawasan kejiranan telah mengeluarkan amaran rasmi yang melarang perbincangan berkenaan status kesihatan Jong-un.
“Unit tersebut berkata bahawa kehilangan berat badan Jong-un bukan disebabkan masalah kesihatan, tetapi kerana beliau sama-sama menderita demi negara dan rakyatnya yang meninggal dunia akibat krisis itu,” jelas sumber tersebut.
Jong-un bulan lalu dilihat melambai ke arah pasukan tentera dan dengan sut rasminya, Mao yang kelihatan longgar.
Sebuah media tempatan yang dikawal pemerintahan Jong-un turut memetik seorang penduduk Pyongyang yang mendakwa semua rakyat Korea Utara berasa sedih melihatkan imej pemerintah itu yang kelihatan kurus. – Agensi