DALAM usaha mendapatkan pingat pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 September tahun depan, jurulatih pelayaran negara, Mohd. Afendy Abdullah berharap mereka dapat memulakan latihan dengan kadar segera.
Beliau yang merupakan jurulatih laser standard berkata, anak buahnya, terutama Khairulnizam Mohd. Afendy berpotensi untuk memenangi pingat pada temasya sukan terbesar Asia itu.
Justeru, Afendy menegaskan, mereka tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi dan perlu segera ke luar negara selewat-lewatnya bulan depan bagi menjalani latihan.
Katanya, beliau sudah pun mengadakan perbincangan bersama Pengarah Teknikal skuad pelayaran Australia, Michael Blackburn bagi membolehkan pasukan negara menjalani latihan bersama.
“Latihan dan pendedahan di luar negara perlu dimulakan dengan segera kerana itu satu-satunya cara untuk memperbaiki prestasi atlet-atlet kita. Pergi ke luar negara dan sertai kejohanan sebanyak mungkin.
“Untuk latihan Disember hingga Mac, saya sudah bincang dengan Blackburn dan beliau setuju untuk kita ikuti program latihan mereka. Australia antara pilihan kita kerana mereka sudah tiga kali berturut-turut menang pingat emas Sukan Olimpik,” katanya.
Berdasarkan perancangan yang dibuat, Afendy mahu skuad pelayaran negara berlatih di Eropah bermula September hingga November sebelum ke Australia dan kemudiannya kembali ke Eropah semula Mac depan.
“Kalau nak menang pingat di Sukan Asia, kita tidak boleh tunggu lagi dan perlu segerakan program latihan. Sekiranya tahun depan baru nak mula latihan, memang sukar untuk menang pingat di Sukan Asia.