LAS VEGAS – Petinju No. 1 Asia, Manny Pacquiao bertekad merampas semula tali pinggang welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dengan keputusan knockout (KO) apabila bertarung dengan jaguh Cuba, Yordenis Ugas di Arena T-Mobile, Las Vegas, Amerika Syarikat esok.
Pacquiao pernah menjuarai kejuaraan welterweight WBA menewaskan Keith Thurman pada 2019 tetapi ditarik semula oleh badan induk tinju dunia yang mendakwa bintang Filipina itu tidak aktif dalam gelanggang kompetitif dan menyerahkannya kepada Ugas.
Justeru, Pacquiao menganggap, aksi menentang Ugas esok akan menjadi medan buatnya membuktikan kemampuannya untuk merampas semula tali pinggang keramat yang pernah dimenangi sebelum ini.
“Saya tidak suka ada individu yang meraih tali pinggang kejuaraan tanpa mencabar di gelanggang. Namun, saya percaya kami berdua adalah juara bertahan kategori welterweight dan pertarungan itu akan menjadi bukti siapa petinju No. 1 dunia.
“Saya tidak teragak-agak untuk melakukan KO ke atas Ugas jika mendapat peluang terbuka. Saya tidak boleh memandang rendah Ugas yang cukup berpengalaman di pentas profesional dan pernah bersaing pada Sukan Olimpik,” katanya.
Mengulas lanjut, Pacquiao yang kini berusia 43 tahun mengakui, sudah melakukan persediaan mantap sejak beberapa bulan lalu selain tidak menolak kemungkinan bakal meneruskan lagi legasinya di gelanggang tinju pada masa depan.
“Saya masih lagi rasa muda dan gembira dengan apa yang dilakukan di atas gelanggang kerana tinju adalah nadi saya. Malah, saya sentiasa teruja dalam setiap sesi latihan.
“Jadi, pertarungan epik menentang Ugas nanti mampu menjadi bukti bahawa karier tinju saya akan berpanjangan,” katanya. – AGENSI