KOTA BHARU – Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dia dipercayai keluar memancing sendirian di perairan Pantai Sabak di sini sejak tiga hari lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, nelayan terbabit dikenali sebagai Mohd. Rafi Omar,37 dan mangsa dilaporkan keluar ke laut pada pukul 11.59 malam Rabu lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan kakak mangsa yang berusia 51 tahun memaklumkan bahawa adiknya kali terakhir dilihat memakai baju hitam bersama baju hujan berwarna hijau dan putih.
“Ahli keluarga mangsa telah mencari mangsa di lokasi yang biasa dia memancing, namun usaha itu gagal sebelum mereka membuat laporan polis pagi tadi.
“Maritim Malaysia Kelantan telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 12.50 tengah hari tadi di sekitar 70.8 kilometer persegi dari perairan pantai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syed Nor Adli berkata, pencarian menggunakan Kapal Maritim Tok Bali terpaksa ditangguhkan pada pukul 7 petang tadi kerana kekangan keadaan cuaca dan jarak pengelihatan yang terhad.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang petunjuk ditemui dan pencarian akan diteruskan semula pada pukul 7 pagi esok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929