SABAK BERNAM – Kehilangan seorang lelaki warga emas yang mandi di Sungai Sabak Bernam di sini, sejak empat hari lalu terungkai selepas mayatnya ditemui, petang tadi.
Mayat mangsa, Ong Tiong Seng, 75, ditemui pukul 2.57 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya disertai polis dan nelayan memulakan operasi pencarian bermula pukul 7 pagi melibatkan kira-kira 15 kilometer dari Jeti Pengkalan Sabak Bernam sebelum menemui mayat mangsa di sekitar kawasan jambatan Sungai Bernam.
“Jarak mayat ditemui dari lokasi kejadian adalah kira-kira lima kilometer.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti pengkalan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Tiong Seng dikatakan sempat memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik ketika mandi selama setengah jam di Sungai Sabak Bernam sebelum hilang dibawa arus, Rabu lalu.
Kehilangan mangsa diketahui pukul 6.45 petang selepas dimaklumkan pemancing di kawasan Jeti Jalan Pasar Pekan Sabak Bernam.- K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929