Oleh SYED MOHD HAZIQUE SYED NOR MOHAMAD, AMREE AHMAD dan NAUFAL MOHAMAD IDRIS
PETALING JAYA – Orang ramai di Lembah Klang yang telah lengkap vaksinasi tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah kegemaran mereka secara dine-in bermula semalam.
Dalam tinjauan Kosmo! di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang masih berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), rata-rata orang ramai melahirkan rasa teruja, namun tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Negeri lain masih di bawah Fasa 1 PPN adalah Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Hasil tinjauan juga mendapati, sebilangan pengguna masih mengamalkan konsep beli dan bawa pulang susulan bilangan kes yang masih tinggi.
Di Shah Alam, bagi pengurus syarikat pengedaran barangan keperluan asas, Muhaimin Yussof, 33, berkata, perkara itu merupakan satu ‘nikmat’ yang amat dirindui sejak Mei lalu selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
“Kita di Selangor sudah lama tunggu detik ini, perasaan dine-in dengan take away amat berbeza.
“Sudah tentunya, saya akan melepaskan ‘geram’ dengan mencari dan makan di kedai-kedai masakan Thailand dan Indonesia yang menjadi kegemaran selepas ini,” katanya di sini semalam.
Di Putrajaya, situasi agak berbeza di di Medan Selera Presint 8 apabila kesemua kerusi dan meja masih belum disusun dan pelanggan tidak dibenarkan untuk dine-in.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Siti Salma berkata, peniaga belum lagi menerima arahan daripada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).
“Ramai pelanggan datang pagi tadi (semalam) pun terkejut kerana menyangka sudah boleh dine-in tetapi kami belum dapat arahan pembukaan daripada PPj,” katanya.
Tinjauan di Alamanda Putrajaya pula mendapati, mereka yang lengkap dua dos vaksin datang untuk dine-in di medan selera pusat beli-belah itu.
Seorang penduduk, Khairul Ikhwan Ali, 42, berkata, setiap pengunjung di Alamanda diperiksa secara teliti dan perlu menunjukkan sijil vaksinasi digital melalui MySejahtera bagi memastikan mereka yang belum lengkap vaksin tidak mengambil kesempatan.
Di Cheras, seorang pemilik restoran, Zolkhoari Abdul Aziz, 49, berkata, sambutan daripada pelanggan agak menggalakkan apabila kedainya mula ‘diserbu’ bermula pukul 12 tengah hari.
“Setelah sekian lama, mereka ambil kesempatan datang ke premis saya, ada juga mengatakan bahawa nikmat dan perasaan dine-in berbeza berbanding membungkus makanan,” katanya. -K! ONLINE