DITEBAK rawak pertanyaan filem atau siri apa yang menjadi kecenderungannya sejak kebelakangan ini, wanita yang baru sahaja menginjak usia 21 tahun seminggu lalu itu menjawab: “Saya tak tahu tetapi sekarang, saya macam sedang ‘layan’ semula filem Twilight menerusi Netflix.
“Saya tahu filem tersebut bukanlah karya baharu, tetapi entahlah, dengan segala hiruk-pikuk yang berlaku disebabkan Covid-19, saya rasa macam suka ‘bernostalgia’ dengan perihal lampau.”
Perkongsian tersebut seperti segera melancarkan perbualan atau memberi ruang selesa kepada kami berborak menerusi panggilan telefon sekitar 30 minit, Selasa lalu.
Kata Anna atau nama lengkapnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, dia sememangnya peminat siri filem Twilight.
“Saya memang suka filem seram. Kalau ada peluang, saya ingin juga melakonkan watak seperti Bella (lakonan Kristen Stewart). Dapat memainkan peranan puntianak atau yang sebegitu, memang saya idamkan,” katanya menghela tawa kecil.
Karier, bahasa Melayu
Muncul dengan drama rantaian berjudul Shah Alam 40000 arahan Isma Yusoof yang kini hangat ditayangkan menerusi slot Akasia TV3, Anna yang melakonkan watak Shafinaz Mckenzie dalam siri tersebut menyifatkan graf kerjaya lakonannya bergerak perlahan, namun itu tidak menjadi satu masalah buat dirinya.
“Saya sedar bahawa saya masih baru dalam bidang ini. Banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki. Tapi, insya-Allah, perlahan-lahan saya memajukan diri. Baru lebih kurang dua tahun mula terlibat dalam dunia lakonan tapi slowly but surely (perlahan tapi pasti),” katanya.
Berbekalkan wajah ‘pan-Asia’, Anna yang berketurunan Melayu-Inggeris memaklumkan, seawal usia 15 tahun, dia sudah bergelar model menghiasi iklan komersial televisyen dan majalah.
Sekitar tiga tahun lalu, pada usia 18 tahun, Anna mencuba nasib menyertai program realiti, Dewi Remaja 2018/2019.
Biarpun hanya menduduki tempat keempat, Anna menyifatkan program tersebut sebagai batu loncatan untuk perlahan-lahan dikenali khalayak.
Akuinya, dia masih belajar untuk menguasai bahasa Melayu dan tidak menafikan yang penguasaannya dalam bahasa nombor satu di Malaysia tersebut masih lemah.
“Saya tak fasih berbahasa Melayu kerana mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa, kebanyakan kawan saya bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Saya masih belajar untuk menguasai bahasa Melayu dan mendapat bantuan daripada ibu sendiri. Sebelum ini, kalau ibu tanya soalan dalam bahasa Melayu, saya jawab dalam bahasa Ingeris.
“Sekarang saya cuba jawab dalam bahasa Melayu untuk setiap pertanyaannya.
“Sekarang, saya kena mahir dalam bahasa Melayu sebab nak bina kerjaya bidang ini saya kena ambil cakna, sebagai warganegara Malaysia, adalah penting untuk seseorang itu mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan,” ujarnya yang mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.
Diajak berbicara tentang figura yang memberi inspirasi kepada dirinya untuk bekerja keras dalam bidang seni, Anna menyebut seorang pelakon kelahiran Malaysia yang kini sudah berjaya membina nama di peringkat antarabangsa iaitu Henry Golding.
“Saya menjadikan dia (Henry) sebagai sumber inspirasi dan rujukan. Kita boleh tengok sendiri bagaimana permulaan kerjayanya bermula sebagai pengacara The 8TV Quickie dan sekarang di Hollywood.
“Tiada perkara dalam dunia ini yang terus jadi terbaik. Setiap perkara hebat yang dilakukan pasti ada permulaan. Saya percaya dengan rezeki dan kalau kita terus berusaha, insya-Allah, akan ada jalan,” ujarnya yang amat meminati jalur muzik ‘indie’ misalnya karya Lana Del Rey.
Sistem sokongan
Melanjutkan perbualan, Anna berkata, ibu bapanya menjadi pendorong utamanya untuk melestarikan impian sebagai anak seni. Berstatus anak tunggal, sudah tentu dia mahu membuatkan ibu bapanya bangga dengan segala bidang yang diceburi.
“Ibu bapa saya sangat mendukung. Ibu seorang suri rumah, manakala bapa bekerja dalam sektor minyak dan gas. Mereka tidak pernah mengeluh dengan pilihan saya cuma saya sentiasa ingat pesanan mereka supaya buat yang terbaik dan sentiasa jaga nama baik keluarga.
“Sejujurnya, mereka memang tidak pernah menghalang minat saya dalam bidang seni walaupun saya ini satu-satunya anak mereka. Sudah tentu besar harapan mereka untuk melihat saya berjaya, namun saya berjanji akan membuatkan mereka bangga,” tuturnya yang mempunyai perancangan untuk menyambung pelajar di luar negara dalam bidang perniagaan.
Ditanya sama ada pernah atau tidak dirinya berasa sunyi dek berstatus anak tunggal, jawab Anna: “Tak pernah. Ibu bapa saya berikan kasih sayang secukupnya dan apa yang saya perlukan dalam kehidupan, mereka akan cuba dapatkan sedaya mampu.
“Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna saya dimanjakan dengan kemewahan. Kalau tidak, takkan saya mula bekerja seawal usia 15 tahun untuk mencari duit poket sendiri. Saya suka hidup berdikari.
“Orang lain ada adik-beradik, tidak mengapa itu hidup dan rezeki mereka. Saya ada ibu bapa yang dikasihi dan mengasihi. Itu sudah cukup buat saya. Lagi pun, saya ada lebih 10 ekor kucing di rumah.”
Lelaki? Tiada kriteria khas
Diusik soal teman istimewa, Anna pantas menjawab, dia masih muda dan masih terlalu awal untuk memikirkan soal lelaki.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menambah, dia bagaimanapun tidak mempunyai cita rasa atau kriteria spesifik tentang lelaki. Baginya, mana-mana lelaki mempunyai peluang untuk mendekatinya.
“I have no type (saya tiada cita rasa spesifik). Kalau sukakan seseorang, maknanya memang saya suka dia (tertawa). Saya tak kisah kalau orang itu Melayu atau mat salih.
“Tetapi, kalau bercakap tentang kriteria tentulah saya mahukan lelaki yang menghormati diri saya dan keluarga. Yang boleh bimbing saya ke arah yang lebih baik dalam hidup. Senang cerita, lelaki yang buat saya senang cair hati ialah yang meletakkan keluarga di tangga nombor satu.
“Kalau dia kelakar, itu satu bonus! Antara aspek lain yang penting adalah menghormati kerjaya saya. Jangan risau, rasa hormat yang sama akan datang daripada saya dalam apa juga kerjaya yang dilakukan,” katanya.
Dijentik persoalan mengenai peribadi pelakon Aedy Ashraf yang terlibat sama dalam drama lakonannya, Shah Alam 40000, Anna cukup senang bekerja dengan aktor ‘seksi’ itu.
“Kalau cakap tentang cetusan kimia ketika di set penggambaran, memang tiada masalah sebab kami memang sudah kenal lama.
“Aedy seorang lelaki yang baik dan tahu apa yang dimahukan dalam hidup terutama karier. Ada orang cakap dia macam sombong tetapi sebenarnya tidak, kena kenal dia, barulah tahu bagaimana perangainya,” tutup Anna yang bakal muncul dengan drama baharu terbitan Astro, Dia Yang Ku Jadikan Suami bergandingan dengan hero baharu, Malek Mcrone.