fbpx

Ingkar, sebuah lagi mahakarya ‘mahal’ Tulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TULUS

PENYANYI berbakat besar Indonesia, Tulus menzahirkan single baharu berjudul Ingkar selepas lebih setahun vakum daripada sebarang perkongsian muzik yang pastinya menjebak kerinduan.

Seperti kelaziman, Tulus atau nama sebenarnya, Muhammad Tulus Rusydi langsung tidak mengecewakan para ‘pemirsa’nya. Ingkar, sebuah mahakarya yang mengubat kerinduan ramai terhadap kecanduan listrik vokal dan karya-karya magis Tulus.

Dicipta sendiri bersama dua sahabatnya, Ari Renaldi dan Yoseph Sitompul, Ingkar memberi bukti konkrit kepada banyak orang bahawa jika berkehendakkan sesebuah karya yang ‘mahal’, kalian boleh mengharapkan perihal tersebut daripadanya.

Mahal, emosi mewah

Dari segi komposisi muzik, lagu berkenaan memiliki segala-galanya. Memberi nikmat ‘mahal’ melalui permainan muzik, vokal dan dipadu pasukan orkestra, perkara sebegitu yang tidak boleh disangkal datang daripada penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat itu

Berdurasi lebih empat minit, tiada satu momen lompong pun yang terkait dalam buah tangan Tulus kali ini. Secara peribadi buat penulis, semuanya diisi dengan cukup rencah dan sempurna sama ada dari segi melodi mahupun nukilan lirik.

Istimewanya tentang Tulus, jika dalam nyanyian, segala apa yang terbutir dari bibirnya tepat menusuk ke jiwa setiap pendengar. Semacam apa yang dikumandangkan memberi luahan rasa kita sendiri. Itu nilai kejujuran luar biasa yang perlu ada dalam diri setiap penyanyi.

Dari segi vokal, tiada apa dan siapa yang dapat menyangkal kemerduan dan nilai dinamika tanpa gagal daripada penyanyi tersebut. Buat penulis, Tulus antara penyanyi hebat Indonesia yang wajar dicanang sebagai ‘king of soul’ berdasarkan prestasi persembahannya, baik dalam studio rakaman mahupun secara langsung.

Versi ‘live’

Andai kalian merasakan versi studio sudah cukup cemerlang, boleh juga meminjamkan halwa telinga mendengar versi secara langsung yang turut terkandung dalam akaun YouTube rasmi Tulus.

Kalau tidak merinding mendengar versi tersebut, barangkali, ada sesuatu yang ‘terpangkah’ dengan emosi kalian. Seloroh sahaja tapi benar, Tulus jarang gagal memberi yang terbaik di pentas ‘live’.

Secara keseluruhannya, Ingkar membuktikan Tulus masih berbisa dan mampu melahirkan karya yang boleh menyentuh jiwa raga sesiapa yang mendengar. Dalam suasana dunia yang penuh dengan kebobrokan Covid-19 dan politik yang menghempap nilai sosial dan ekonomi sekarang, dia memberi satu bentuk harapan menerusi bakat seni tidak ternilai kurnian Tuhan.

Terima kasih Tulus kerana berkongsi perasaan dan emosi dengan jujur, disampaikan dengan penuh ketulusan dan karya dinyanyikan dengan cukup indah dengan cela yang sangat tidak terlihat.

Menjelang entah bila tamatnya pandemik Covid-19, Ingkar pasti membuatkan ramai yang tidak sabar untuk berkunjung ke Indonesia menonton depan mata persembahan Tulus. Barangkali, Tulus sendiri boleh berkunjung ke Malaysia untuk menjayakan persembahan buat peminat di sini dalam nuansa mahal sebuah konsert seperti yang pernah dilunaskan di Istana Budaya tiga tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI