JOHOR BAHRU – Polis sudah mengenal pasti identiti dua lelaki yang memakai gelang tangan merah jambu dan melanggar perintah kuarantin apabila keluar membeli makanan di kawasan Taman Sierra Perdana, Masai dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, perbuatan kedua suspek itu dikesan susulan sebuah video tular merakam aksi mereka melakukan perbuatan itu.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek itu merupakan warga tempatan berusia 23 dan 46 tahun.
Tambahnya, kedua-dua mereka adalah kontak rapat pesakit Covid-19 dan mereka perlu menjalani kuarantin bermula Sabtu lalu hingga Selasa ini.
“Pihak polis mengesan sebuah video berdurasi satu minit 32 saat yang tular memaparkan dua individu dengan gelang pink melanggar perintah kuarantin di kawasan tersebut.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku pada pukul 8 malam. Kedua-dua lelaki itu sepatutnya menjalani proses kuarantin kendiri dan bukannya keluar membeli makanan.
“Pihak polis akan panggil mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam selepas mereka tamat menjalani kuarantin kendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929