fbpx

Hero pujaan Malaya kini terikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Remy dan pasanganya, Ezza.

PETALING JAYA – Lapan tahun teruji, bercinta, bertunang, putus tunang dan kembali serius mengenali hati budi, lelaki yang terkenal dengan jolokan ‘Hero Pujaan Malaya’, Remy Ishak akhirnya bulat hati untuk mengakhiri zaman solonya dengan seorang usahawan bernama Roszaliza Yusof.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak mengakui dalam tempoh lapan tahun perkenalan, cabaran yang dilalui telah mematangkan perhubungan sehingga sampai tarikh 21 Ogos iaitu hari ini sebagai hari akad nikah mereka berdua. 

“Alhamdulillah, kami bermula sebagai kawan, kemudian perhubungan diteruskan dengan pertunangan, namun selepas itu, diuji apabila putus tunang dan bercantum semula. 

“Inilah orang cakap, kalau dah jodoh takkan ke mana. Inilah waktunya. Tahun kelapan perkenalan, selepas timbang tara tolak tambah, saya yakin dialah orangnya,” kata yang dijadualkan bernikah di Masjid Negara Kuala Lumpur hari ini,

Pelakon filem Sangkar itu menjelaskan, tiga tahun pertama perkenalan merupakan detik paling sukar buat mereka sehinggalah ikatan pertunangan yang dibina pada 2017 pernah terputus pada 2019. 

“Saya selalu cakap kepada diri bahawa saya perlukan seorang yang memahami dan mengenali diri saya. Bukan hanya kenal sebagai Remy Ishak, tetapi Zalimie Ishak. Jadi sepanjang mengenali dia, sudah tentu ada pahit manis.

“Tiga tahun pertama memang susah nak kenal saya. Setelah kami putus tunang, saya cuba juga kenal dengan orang lain, tapi tak boleh pergi jauh.

“Saya nampak Ezza adalah wanita yang setia. Dia berada di sisi dalam waktu jatuh dan bangun, suka dan duka. Sepanjang tempoh lapan tahun kami sama-sama saling kenal dan kian memahami,” ujarnya.

Berkongsi mengenai sesi pernikahannya, Remy memaklumkan tiada sebarang majlis resepsi  diadakan memandangkan semua pihak akur dengan situasi semasa pada waktu ini.

“Setelah banyak kali ditangguhkan kerana akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah kami buat keputusan untuk bernikah pada tarikh 21 Ogos (hari ini). Pada awalnya juga kami diberitahu lokasinya di pejabat agama.

“Bagaimanapun, pada saat akhir dimaklumkan boleh bernikah di masjid dengan jumlah orang terhad. Alhamdulillah, saya bersyukur semua urusan dipermudahkan-Nya,” katanya.

Sebelum ini, aktor Pulang itu mendedahkan, mereka  sepatutnya mengadakan majlis pernikahan pada Mei lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 majlis itu terpaksa dibatalkan.

Berkongsi tentang titik tolak membulatkan keputusan untuk memperisterikan Ezza, Remy berkata, selain sedar wanita berkenaan sangat memahami dirinya dan mengubah dirinya menjadi seorang lelaki yang matang, usia yang semakin meningkat juga membuatkannya ingin segera mendirikan masjid. 

“Saya sendiri dah semakin berumur. Saya sedar makin tumbuh uban. Titik tolaknya, apabila nampak uban dalam lubang hidung. Kalau uban di kepala, tak mengapa tapi kalau uban dalam lubang hidung dah lain macam (tertawa).

“Jadi, saya rasa diri dah cukup matang untuk buat keputusan dan sebagainya. Untuk Ezza sendiri, dia dah cukup memahami saya dan karakter dia pun semakin matang,” katanya. 

Sementara itu, pengesahan pengakhiran zaman bujang lelaki yang dikatakan melengkapi kriteria ‘tall, dark and handsome’ (tinggi, berkulit sawo matang dan tampan) bahkan pernah disamakan dengan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin  itu turut mematahkan hati peminat wanitanya.

“Ramai tengah heart broken (patah hati) sekarang ini, tahu tak Abang Remy,” tulis seorang peminat dalam ruangan komen entri yang dimuat naik. 

Pada usia 39 tahun dengan segala kestabilan karier dan kewangan, fasa baharu yang akan dilalui lelaki berketinggian 180 sentimeter juga dicemburui peminatnya.

“Sejak  Remy Ishak mula berlakon sampai sekarang dia nak kahwin, saya juga yang masih ‘single’,” tulis seorang netizen.

Turut mencuri tumpuan apabila bekas heroin Nur Kasih yang juga bekas kekasihnya, pelakon Tiz Zaqyah turut meninggalkan komen dalam status hantaran terkini bakal isterinya, Ezza. 

Selain itu, entri yang dimuat naik Ezza berkapsyen ‘hari ini’ beserta emoji berbentuk hati yang seperti memberi simbolik akhirnya hubungannya dengan Remy akhirnya bersatu dengan ikatan suami isteri yang sah mendapat mesej positif daripada Tiz iaitu untaian emoji berbentuk hati.

Remy dan Ezza akan berkahwin hari ini sekitar pukul 12 tengah hari di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan hanya akan dihadiri pengantin lelaki dan perempuan dan wali nikah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI