fbpx

Enggan berpindah bimbang Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azmi Ghazali (kanan)melawat rumah mangsa banjir di Alor Pongsu hari ini.

BAGAN SERAI – Kes jangkitan Covid-19 yang meningkat di daerah ini menyebabkan ramai mangsa banjir enggan dipindahkan, sebaliknya bertahan di rumah masing-masing.

Seorang penduduk, Jamaluddin Hassan, 64, berkata, perasaan bimbang dijangkiti tetap ada walaupun rumahnya di Kampung Parit Simpang Empat dinaiki air sejak malam tadi

Katanya, beliau sekeluarga enggan untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu yang telah dibuka pagi tadi.

“Selagi mampu untuk bertahan di rumah maka kami akan kekal berbuat demikian, kecualilah jika paras air makin naik menyebabkan kami tiada pilihan.

“Dalam situasi penularan wabak Covid-19 yang agak agresif membuatkan saya dan ahli keluarga merasa bimbang untuk menjadi penghuni PPS,” katanya.

Mangsa banjir di Kampung Tebuk Jawa Matang Pasir, Norsyazwani Mohd. Shariff, 22 juga memutuskan perkara sama apabila dia bersama sembilan ahli keluarganya enggan berpindah.

“Kami adik beradik sepakat untuk menghantar ibu ke rumah saudara yang berdekatan dan mungkin hanya salah seorang dari kami yang akan mendaftarkan diri di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali meminta mangsa banjir agar tidak bimbang jika di pindahkan ke PPS yang disediakan.

Noor Azmi berkata, terdapat ramai mangsa banjir enggan berpindah ke PPS berikutan bimbang berlaku penularan pandemik Covid-19 di lokasi itu.

Katanya, petugas Pejabat Kesihatan Daerah terlebih dahulu akan membuat penilaian risiko dan mengasingkan mereka yang bergejala di satu tempat khas yang telah disediakan di PPS.

“Mangsa banjir yang dipindahkan perlu terus mematuhi peraturan selain penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

“Kita nasihatkan mangsa-mangsa banjir yang enggan berpindah agar segera berbuat demikian bagi megelakkan perkara lain yang lebih buruk,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI