PETALING JAYA – Selepas tiga bulan mengunci mulut mengenai kehamilan isterinya, Atta Halilintar mengesahkan Aurel Hermansyah hamil lagi dengan kandungan kali ini sudah melepasi trimester pertama.
YouTuber sensasi itu berkata, dia hanya mengharapkan doa supaya kehamilan isterinya diberi kelancaran memandangkan sebelum ini timbul pelbagai spekulasi.
“Anakku, Ahamdulillah. Allahuakbar. Sihat, kuat ya anakku. Papa dan mama akan jaga kamu sekuat kami.
“Selepas lebih tiga bulan merahsiakan, dengan banyak media hiburan yang terus bertanya dan beritanya semakin tidak menentu.
“Doa terbaik saja ya buat keluarga kecil saya,” tulis Atta menerusi akaun Instagramnya.
Menerusi laman sosial itu, Atta turut memuat naik video rakaman imbasan bayi dalam kandungan isterinya ketika melakukan pemeriksaan bulanan di klinik.
Nyata berita gembira itu meraih banyak ucapan tahniah daripada rakan serta pengikut yang tidak ketinggalan berharap keadaan isterinya dan bayi dalam kandungan terus sihat.
Terdahulu, pada Mei lalu Aurel yang juga anak kepada Krisdayanti dan Anang Hermansyah mengalami keguguran selepas mengalami pendarahan teruk.
Aurel, 23, dan Atta, 27, yang diijabkabul di Hotel Raffles Jakarta pada 3 April lalu memang sudah bersedia menunaikan tanggungjawab untuk mempunyai cahaya mata awal.
Sementara itu, Aurel turut berkongsi foto imbasan kandungannya di Instagram Story dengan mengucap kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.
“Allahuakbar. Terima kasih Ya Allah. Engkau memberi kepercayaan kepada kami lagi untuk menjadi ibu bapa.
“Selalu menangis terharu setiap kali melihat perkembanganmu, anakku,” katanya yang nyata turut gembira berkongsi khabar berkenaan.