DUSAN VLAHOVIC
MANCHESTER City menjadikan Vlahovic yang dikatakan mempunyai yuran perpindahan bernilai €80 juta (RM395.99 juta) sebagai pilihan alternatif sekiranya gagal mendapatkan khidmat penyerang prolifik Tottenham Hotspur, Harry Kane.
Dalam masa sama, penyerang Fiorentina ini turut berada dalam radar juara bertahan La Liga, Atletico Madrid yang dilaporkan sedang berusaha mengumpul dana dengan menjual ramai pemain seperti Santiago Arias, Marcos Paulo, Ivan Saponjic dan Ivo Grbic.
HOUSSEM AOUAR
PENGURUS Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo merasakan perancang tengah Lyon ini mampu menguatkan jentera serangannya yang berkemungkinan besar bakal kehilangan khidmat Harry Kane dalam jendela perpindahan ketika ini.
Spurs percaya harga £25 juta (RM145.46 juta) mampu meyakinkan Lyon untuk melepaskan Aouar yang kini dikatakan tidak lagi berada dalam radar Arsenal selepas melengkapkan perjanjian dengan bintang Real Madrid, Martin Odegaard bernilai £30 juta (RM174.55 juta).
MIRALEM PJANIC
JUVENTUS bercadang untuk membeli semula khidmat pemain tengah Barcelona ini yang dianggarkan bernilai £6 juta (RM34.9 juta) sebelum jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos nanti.
Bagaimanapun, The Old Lady perlu menjual Aaron Ramsey dengan harga £12.6 juta (RM73.31 juta) terlebih dahulu supaya mempunyai dana mencukupi untuk membayar gaji mingguan Pjanic berjumlah £271,000 (RM1.57 juta).
MARCEL SABITZER
BINTANG RB Leipzig ini bakal dijual dalam tempoh terdekat kepada Bayern Munich untuk kembali membuat reunion bersama ketua jurulatih pasukan itu, Julian Nagelsmann.
Leipzig tidak mempunyai pilihan selain menjual kapten skuad antarabangsa Austria ini dengan harga €42 juta (RM207.90 juta) yang dilihat masih menguntungkan daripada ‘berputih mata’ kehilangannya secara percuma sebaik tamat kontrak hujung musim ini.
PEDRO
PENGENDALI Lazio, Maurizio Sarri bersedia menyelamatkan karier Pedro yang dikatakan bakal ditamatkan kontraknya oleh AS Roma kerana namanya tiada dalam perancangan ketua jurulatih pasukan itu, Jose Mourinho musim ini.
Walaupun sudah berusia 34 tahun tetapi Sarri dilihat masih mempercayai kemampuan Pedro yang bakal mencipta sejarah unik dalam bola sepak era moden Itali sebagai pemain pertama menyarung jersi Lazio daripada Roma.