PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar sukarelawan dikenali sebagai Pasukan ResQ bagi membantu penduduk yang terkesan dengan musibah banjir lumpur di Yan, Kedah.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI menubuhkan ResQ lebih 20 tahun lalu sebagai tanda keprihatinan sekali gus membantu komuniti yang dilanda musibah bencana alam termasuk banjir.
“Seramai 20 sukarelawan UPSI melibatkan kakitangan dan mahasiswa telah berangkat pukul 9.00 pagi tadi ke kawasan yang terjejas iaitu Kampung Setoi, Kampung Ruat, Kampung Permatang Gamat, Kampung Titi Bakong dan Kampung Sungai Badak di Gurun,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, Pengarah Unit Transformasi Komuniti Universiti, Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada tugas pembersihan rumah keluarga pelajar, alumni UPSI selain masyarakat setempat.
“Misi sukarelawan ini dijalankan dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia serta Universiti Awam Zon Utara,” katanya yang mengetuai misi bantuan tersebut.
Menurutnya, rombongan sukarelawan berkenaan menggunakan empat buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah lori dengan misi tersebut dijadualkan berakhir lusa.
Beliau berkata sumbangan daripada Tabung UPSI Prihatin berbentuk keperluan asas seperti beras, sabun, gula dan minyak masak turut diberikan kepada keluarga pelajar UPSI yang terlibat.
“Di kawasan kejadian, kami turut membantu keluarga pelajar semester tujuh Fakulti Sains dan Matematik, Najihah Azizan di Kampung Singkir Genting, Bedong,” jelasnya.
Mana-mana pihak serta alumni UPSI yang ingin memberi sumbangan kepada Pasukan ResQ boleh menghubungi Dr. Norkhalid di talian 016-510 0230. – K! ONLINE