fbpx

‘Titik tolak nak kahwin, nampak uban dalam lubang hidung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMY ISHAK dan Ezza akan berkahwin esok di sebuah masjid di ibu negara.

PETALING JAYA – “Untuk ada lebih daripada tiga orang anak dalam tempoh lima tahun pertama (perkahwinan), itu tidak mungkin akan berlaku.”

Demikian respons pelakon Remy Ishak apabila ditebak pertanyaan berhubung soal perancangan keluarga dengan kehidupan baharu sebagai suami kepada bakal isteri, Ezza Yusof yang akan bermula esok.

Kata Remy atau nama lengkapnya, Mohammad Zalimei Ishak, 39, dia dan bakal isteri tidak mahu terlalu tergesa-gesa soal zuriat.

“Dunia sekarang tengah tak stabil. Ekonomi tak stabil, dan kerajaan pun tak stabil. Segalanya macam berada dalam ketikdakpastian.

“Dua tahun pertama perkahwinan, kita relaks. Kalau ada rezeki, ada lah. Tak perlu orang kata, terlalu fikirkan tentang anak dan sebagainya. Kalau Allah bagi (anak), Allhamdulillah,” ujar Remy kepada Kosmo! Online.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Nur Kasih itu mendedahkan perihal itu pada sesi temu bual bersama media secara maya pagi tadi.

Berkongsi tentang titik tolak membulatkan keputusan untuk memperisterikan Ezza, Remy berkata, selain sedar wanita berkenaan sangat memahami dan mengubah dirinya menjadi seorang lelaki yang matang, usia yang semakin meningkat juga membuatkannya ingin segera mendirikan rumah tangga.

“Bagusnya tempoh Covid-19, saya semakin bersifat terbuka dan sebenarnya, kian sedar sudah lama hubungan saya dan dia (Ezza). Dari segi pemahaman dan peribadi semakin berubah. Karakter pun semakin matang.

“Saya sendiri dah semakin berumur. Saya sedar makin banyak tumbuh uban. Titik tolaknya, apabila nampak uban dalam lubang hidung. Kalau uban di kepala, tak mengapa tapi kalau uban dalam lubang hidung dah lain macam (tertawa).

“Jadi, saya rasa diri dah cukup matang untuk buat keputusan dan sebagainya. Untuk Ezza sendiri, dia dah cukup memahami saya dan karakter dia pun semakin matang,” katanya.

Remy dan Ezza akan berkahwin esok sekitar pukul 12 tengah hari di sebuah masjid sekitar Kuala Lumpur. Majlis pernikahan hanya akan dihadiri pengantin lelaki dan perempuan dan wali nikah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI