KAJANG – Tindakan sindiket perjudian dalam talian yang menyewa lima unit kediaman berasingan di sebuah kondominium Jalan Taman Impian, Taman Balakong di sini terbongkar selepas digempur polis semalam.
Serbuan menerusi Ops Calling Centre kira-kira pukul 2 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat serta risikan.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, pihaknya berjaya menahan 16 individu termasuk lima wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an.
“Hasil semakan mendapati, 13 suspek adalah warga asing terdiri lima warga Indonesia dan lapan warga Thailand. Turut dirampas 21 telefon bimbit, 11 monitor komputer, 13 komputer riba dan tujuh modem.
“Siasatan mendapati lima unit kediaman yang disewa di tingkat berlainan itu dijadikan tempat operasi mempromosi kegiatan perjudian dalam talian dengan mensasarkan warga tempatan dan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mengulas lanjut, sindiket terbabit menyewa kediaman terbabit dengan bayaran RM2,000 sebulan dan telah beroperasi sejak dua tahun lalu.
“Siasatan juga mendapati sindiket menggunakan laman web www.cw88.club bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti mega888 ,Cw88, Joker 123 dan 918 kiss. Mereka juga menggunakan aplikasi WhatsApp Web dan Line dalam urusan promosi perjudian dalam talian.
“Kegiatan perjudian dalam talian itu dikesan mampu mengaut keuntungan antara RM30,000 hingga RM40,000 sehari,” ujarnya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929