PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan, Caprice seperti memberi gambaran tentang kesediaan dan keterbukaannya untuk memberti kerjasama pada bila-bila masa andai dihubungi pihak berkuasa bahkan Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung satu siasatan ke atasnya.
Menerusi satu muat naik entri terbaharu dalam Instagram, pelantun lagu Lenglui itu turut memaklumkan, kalau ada sesiapa yang mencarinya, dia boleh dihubungi menerusi talian telefon peribadi yang tertera dalam Instagramnya.
“Orang kata, ada pihak cari kita? Amman to Ramallah. Siapa-siapa tengah cari, polis ke, Interpol ke, mak mertua ke, Zizan untuk ‘keychain’ Firaun ke, boleh WhatsApp saya.
“Nombor (telefon) ada di ‘bio’ Instagram,” tulis seraya menyertakan video lagu terbaharunya yang dibikin di Mesir menerusi entri terbabit.
Dalam pada itu, ramai dalam kalangan netizen meninggalkan komen menasihatkan agar pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 33, itu agar tidak terlalu bercakap besar dan memintanya kembali ke Malaysia bagi menyelesaikan permasalahan berbangkit.
“Jangan cakap besar, balik Malaysia dahulu. Apa-apa hal, balik Malaysia dahulu. Jangan ‘pung pang pung pang’ di luar. Dahulu saya sokong anda, tetapi permainan anda sekarang tak cantik,” tulis netizen dalam ruangan komen.
Terdahulu, polis telah memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk berhubung dengan Caprice yang ketika ini masa sekarang berada di Mesir, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima tarikh untuk mengambil keterangan Nadir dan Caprice.
“Kita telah memohon bantuan Interpol dan sedang menunggu jawapan daripada pihak Interpol bagi sebarang perkembangan terbaharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ashari memberitahu, tindakan tersebut dilakukan berhubung laporan yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.
Kosmo! pada 10 Ogos lalu melaporkan polis sedang berhubung dengan dua orang aktivis kemanusiaan, Caprice dan Nadir untuk menetapkan tarikh memberi keterangan secara dalam talian.
Difahamkan, tindakan dan arahan lain berkaitan kes itu sudah diambil termasuk laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membabitkan satu kenyataan dalam media sosial.
Pada 21 Julai lalu, Ebit Lew membuat laporan polis mendakwa dirinya telah difitnah dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – K! ONLINE.