Segala yang berlaku hari ini mengingatkan penulis seputar 23 tahun lalu ketika menduduki kertas peperiksaan subjek Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meminta mengulas tentang Raja Berperlembagaan.
Sejujurnya waktu itu, apa yang dijawab cumalah bersandarkan hafalan teori dan rasanya semua orang pun begitu.
Tetapi ranah-ranah kemelut yang terjadi hari ini membuatkan segala yang termaktub di dalam buku teks Sejarah itu kian jelas difahami sekali gus menyedari betapa indahnya kerangka sistem pemerintahan negara tercinta, Malaysia yang mungkin tiada duanya di dunia.
Sedikit masa lagi, negara ini bakal melalui episod kedua peralihan kepimpinan negara tanpa pilihan raya, namun ironinya tidak ramai antara kita yang terlalu gundah kerana menyedari ‘benteng’ terakhir di tangan raja iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang kita percaya akan membuat keputusan dengan bijaksana dalam melindungi semua hak yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan negara Malaysia.
Dengan kewujudan raja atau YDPA, dalam konteks demokrasi, tiada siapa dalam negara ini yang boleh sewenang-wenangnya berkuasa dan tidak ada parti politik atau kumpulan yang boleh semberono mengisytiharkan diri telah ‘memiliki majoriti’ ke atas negara ini sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat dan menjejaskan keamanan negara. Mereka perlu terlebih dahulu mempersembahkan buktinya kepada YDPA dan institusi diraja.
Maka, ternyata benar pepatah ‘raja payung negara’ yang menjadi perisai atau pelindung rakyat, YDPA penjaga perlembagaan serta perungkai kekusutan politik yang selama ini mungkin kedengaran retorik.
Di pihak raja pula, biarpun mempunyai kuasa yang luas, namun tidaklah bersifat mutlak seperti raja sesetengah negara dan kuasanya masih dibatasi apa yang digariskan Perlembagaan Persekutuan.
Hari ini, YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berkenan mengadakan pertemuan khas dengan Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri.
Menariknya peranan periksa dan imbang terakhir serupa bukan hanya ada di peringkat Persekutuan oleh YDPA bahkan di negeri-negeri menerusi sultan-sultan. Inilah antara kunci yang menjamin kestabilan politik, kesejahteraan dan keharmonian di seluruh negara.
Boleh anda bayangkan bagaimana perdebatan plaintif dan defendan di mahkamah tanpa hakim atau pertelagahan dua pemain tanpa pengadil di lapangan sukan? Begitulah diibaratkan pentingnya peranan raja.
Pihak menjadi ‘pengadil’ dalam negara itu mestilah suatu institusi yang benar-benar dipandang tinggi serta dihormati rakyat dan tidak cukup sekadar satu badan yang ditubuhkan kononnya tidak berpihak mana-mana.
Justeru, apabila ada sebarang usaha untuk menghapuskan kuasa raja atau cuba merendahkan martabatnya, kita memahami motif tujuannya. Oleh itu bersama-samalah kita terus pertahankan institusi ini demi kesejahteraan tanah air dulu, kini dan selamanya.
Sempena Bulan Kemerdekaan ini marilah kita menanam rasa cinta kepada negara dan mendaulatkan institusi diraja. Dirgahayu Tuanku!-K! ONLINE