fbpx

Penglibatan wakil BUCG dalam mesyuarat timbulkan konflik – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penglibatan tiga wakil Beijing Urban Construction Group (BUCG) dalam tiga mesyuarat awal Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung cadangan projek terowong dasar laut di negeri itu, telah menimbulkan konflik kepentingan dengan syarikat-syarikat pembida yang lain.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, mereka ialah bekas Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang merupakan syarikat usahasama dengan BUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, Lee Chee Hoe dan Ee Chin Fatt.

Muhamad Azrai Mohamad Zaini, 39, berkata, kehadiran mereka pada tahun 2011 memberikan kelebihan kepada syarikat dari China itu mengetahui lebih awal setiap butiran dalam `Request For Proposal’ (RFP) sebelum dokumen itu diiklankan oleh kerajaan negeri.

Ujar saksi pendakwaan keempat itu, antara butiran tersebut termasuk skop kerja setiap projek, anggaran kos, kelayakan yang ditetapkan terhadap pembida tender, syarat-syarat teknikal dan kewangan serta pulangan kepada pembida dalam pelaksanaan projek.

Beliau yang sebelum ini berjawatan Penolong Pengarah Kanan (Kerja Raya, Utiliti & Pengangkutan) di Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (UPEN) turut terlibat dalam mesyurat itu selaku Urusetia Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan bagi memilih pembida-pembida projek-projek infrastuktur di negeri itu.

Muhamad Azrai menyatakan, oleh kerana projek itu telah diputuskan untuk ditawarkan sebagai tender terbuka, pada pendapatnya BUCG tidak sepatutnya terlibat dalam mesyuarat atau perbincangan bagi penyediaan dokumen RFP.

Saksi yang kini Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BUCG tidak wajar terlibat pada peringkat awal penyediaan RFP sebelum tender terbuka diiklankan kerana ia mendapat kelebihan berbanding dengan syarikat-syarikat lain yang turut berminat menyertai tender terbuka.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi bersetuju bahawa mesyuarat itu dikendalikan oleh Exco dan tidak melibatkan tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 10 September ini. – K!ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI