KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja Melayu dijangka akan bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi menentukan Perdana Menteri ke-9 sebentar lagi.
Ia setelah kenderaan rasmi yang membawa enam Raja-Raja Melayu dilihat memasuki Istana Negara bermula pukul 2 petang ini.
Kenderaan rasmi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah dilihat tiba di Istana Negara pada pukul 2 petang.
Kemudian disusuli kenderaan rasmi Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada pukul 2.14 petang.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di Istana Negara pada pukul 2.22 petang, manakala Sultan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 2.24 petang.
Kenderaan rasmi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula tiba pada pukul 2.33 petang disusuli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada pukul 2.35 petang.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah tiba di Istana Negara.
Terdapat desas desus ketiga-tiga baginda menyertai persidangan tersebut secara maya, namun belum ada sebarang kenyataan mengenai perkara itu oleh Istana Negara setakat ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929