KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan perintah larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar dalam radius satu kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka di sini esok.
Difahamkan, terdapat rancangan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengadakan satu perhimpunan jalanan di sekitar ibu negara esok.
Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semua pihak yang merancang untuk mengadakan perarakan termasuk perhimpunan diberi amaran untuk tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perarakan atau perhimpunan tersebut.
Katanya, polis menerima maklumat pihak tertentu mengambil peluang mengadakan perhimpunan dan perarakan pada masa ini yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun mendakwa sudah membuat permohonan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kuala Lumpur masih berada dalam tempoh PPN Fasa 1 berkuat kuasa bermula 29 Jun lalu. Pada hari ini, sebanyak 1,676 kes baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur direkodkan dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) pada kadar 0.95.
“Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.
“Polis juga amat berharap masyarakat memahami bahawa faktor keselamatan kesihatan pada ketika ini tidak menentu dan memungkinkan jangkitan berganda pada tahap luar biasa jika mereka tidak mematuhi SOP PPN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! pada 7 Ogos lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia menyifatkan rancangan untuk mengadakan satu perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana melanggar SOP.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedia maklum rancangan untuk mengadakan perhimpunan jalanan tersebut pada 21 Ogos ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas. – K! ONLINE.