PETALING JAYA – Tragedi di puncak Gunung Jerai, Kedah yang meragut empat nyawa kelmarin berlaku disebabkan fenomena dipanggil aliran debris atau aliran puing.
Pakar geobencana, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia hampir sama dengan bencana di Pos Dipang, Perak pada 1996 yang memusnahkan kampung Orang Asli dan mengorbankan 44 orang.
“Hujan yang sangat lebat di bahagian hulu sungai atau lembangan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Bahan runtuhan mengempang alur sungai membuatkan paras air naik secara mendadak dan air yang penuh dengan lodak (kotoran tanah pasir) meluru turun ke bawah.
“Dalam aliran turun, ia akan menghakis tebing sungai membawa bersama kayu kayan dan bongkah batuan. Gerakan air yang banyak bersama kayu kayan dan bongkah batuan itu dikenali sebagai aliran debris yang telah mengorbankan banyak jiwa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia itu berkata, aliran debris mempunyai kuasa pemusnah sangat tinggi yang mendorong bongkah dan kayu kayan diendapkan di kaki bukit, sementara air terus mengalir di dataran rendah menyebabkan banjir kilat.
Katanya, apabila curahan hujan melampaui keupayaan alur sungai untuk mengalirkannya, air sungai akan naik hingga melimpah di tebing sungai manakala dalam situasi khas, hujan lebat menyebabkan terjadi tanah runtuh di kawasan hulu.
Seterusnya, bahan runtuhan akan berkumpul di alur sungai membentuk ’empangan sementara’ menyebabkan air sungai di hulu naik dengan mendadak dan akibat tekanan air, empangan sementara akan pecah, menyebabkan air dengan isipadu besar meluru ke bawah dan fenomena ini dipanggil ‘kepala air’.
“Kepala air berbeza dengan aliran debris. Kepala air biasanya berlaku apabila hujan terlampau lebat di hulu sungai dan aliran laju pada peringkat awalnya dikenali sebagai kepala air.
“Kepala air kurang berbahaya berbanding dengan aliran debris kerana ia mungkin hanya membahayakan mereka yang berada di dalam alur sungai, tetapi tidak di tebing sungai,” jelasnya.
Menurutnya, persoalan sama ada aliran debris boleh berlaku di lokasi sama pada masa hadapan bergantung kepada ciri morfologi dan kestabilan cerun dengan ulangan kejadian seumpama itu di setiap lembangan dianggarkan antara 30 hingga 50 tahun sekali.
Beliau berkata, cara terbaik untuk mengetahui risiko aliran debris adalah dengan membuat pemetaan dan pemantauan berkala di lokasi-lokasi berpotensi berlaku fenomena alam tersebut.
“Peristiwa bencana seperti ini agak lumrah di Jepun dan Indonesia dan mereka telah melakukan banyak langkah mitigasi di sungai berisiko tinggi dan kita boleh mengambil pengajaran daripada kedua-dua negara ini,” jelasnya. – K! ONLINE